Zakat Pendapatan/Gaji

Firman Allah s.w.t:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ ۝٢٦٧

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 267)

 

PENDAPATAN

Perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional.

PENGERTIAN GAJI
Merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Pendapatan penggajian merangkumi gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat), dan lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian).

PENDAPATAN BEBAS
Pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Pendapatan bebas ini merangkumi khidmat guaman, khidmat nasihat, juru perunding, rawatan perubatan, kejuruteraan, seniman dan lain-lain.

4 KAEDAH DAN GARIS PANDUAN KIRAAN ZAKAT PENDAPATAN

Terdapat 4 garis panduan mengira zakat pendapatan:-

KAEDAH 1

Kadar 2.5% ke atas jumlah pendapatan yang layak dizakat iaitu jumlah yang bersamaan atau lebih daripada nisab.

Contoh pengiraan :
Pendapatan setahun ditolak dengan perbelanjaan dibenarkan setahun.

  1. Pendapatan bulanan x 12 bulan (gaji setahun)

Si A telah berkahwin dan mempunyai 1 orang anak. Gaji Si A RM4,500.00 sebulan X 12 bulan = RM54,000.00 setahun.

  1. Ditolak Perbelanjaan dibenarkan :
    Diri (Setahun)                       RM 9,000.00
    Isteri (Setahun)                     RM 3,000.00                   Tabung Haji                 RM 600.00
    Anak (Setiap seorang)          RM 1,000.00                   KWSP (11%)                RM 3,300.00

           JUMLAH KESELURUHAN TOLAKAN: RM16,900.00

  1. Jumlah gaji setahun – (tolak) Perbelanjaan dibenarkan (1-2)

RM54,000.00 – RM16,900.00
= Jumlah pendapatan yang layak dizakatkan (RM 37,100.00) setahun. (melebihi nisab semasa tahun 2022: RM20,370.00)

  1. Kadar zakat yang dikenakan ialah :

RM 37,100.00 X 2.5% = RM 927.50 setahun ATAU;
RM 927.50 setahun dibahagikan kepada 12 bulan= RM 77.29 sebulan

ATAU;

KAEDAH 2

Kadar 2.5% ke atas jumlah pendapatan kasar setahun.

Contoh :
Jika jumlah pendapatan kasar dari semua sumber setahun ialah RM54,000 maka zakat ialah:

RM54,000 x 2.5%= RM1,350.00 setahun.
RM1,350.00 setahun dibahagikan kepada 12 bulan= RM112.50 sebulan

ATAU;

KAEDAH 3

Gaji 12 bulan (setahun), satu bulan diperuntukkan terus untuk tunai zakat

ATAU;

KAEDAH 4

Jika pendapatan bulanan bersamaan atau melebihi nisab semasa maka terus dizakat dengan kadar 2.5%.

NOTA:

1. Perbelanjaan yang dibenarkan ialah :

  1. Diri sendiri
  2. Isteri
  3. Anak-anak– Tolakan yang dibenarkan ialah kadar hakiki bagi setiap seorang anak. Kadar tolakan ini adalah sama bagi tiap-tiap orang anak yang masih di bawah tanggungan dan bilangan anak-anak yang boleh diberi tolakan adalah tidak terhad.
  4. Ibubapa– Walaupun seseorang itu telah berkeluarga tetapi beliau masih mempunyai tanggungjawab ke atas kedua ibubapanya. Oleh itu, setiap wang ringgit yang dibelanjakan untuk kedua ibubapanya terlepas daripada dizakatkan. Jumlah tolakan untuk ibubapa tidak dihadkan.
  5. Lain-lain
  6. Tanggungjawab lain termasuklah sesiapa yang di bawah tanggungan selain daripada tanggungan yang disebut di atas seperti adik-beradik, dan anak yang di bawah jagaan isteri(yang telah berpisah), jiran, anak angkat, orang gaji, orang yang menumpang, orang musafir dan sebagainya.

2. Institusi yang membayar zakat:

Zakat tidak dikenakan lebih daripada sekali atas satu-satu harta. Oleh itu, jika sebahagian daripada gaji tadi disimpan dalam institusi tersebut seperti Tabung Haji, jumlah caruman yang dibuat dalam tahun ini boleh dibuat tolakan.

3. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Walaupun seseorang itu menerima gajinya tetapi 11% daripadanya ditolak untuk dicarum ke dalam KWSP. Wang ini tidak lagi menjadi milik si penerima gaji tersebut kecuali setelah dia mengeluarkan wang carumannya kelak. Wang yang dicarum ini ditolak kerana belum sempurna milik. Jadi, ditolak segala penolakan yang dibenarkan dari pendapatan diri pelbagai sumber. Jumlah yang tinggal ini merupakan “pendapatan bersih”. Bandingkan pendapatan bersih ini dengan nisab akhir haul. Sekiranya ia sama atau lebih maka seseorang itu wajib mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada gaji bersihnya.

4. Pendapatan daripada sumber yang haram

Pendapatan yang diperolehi oleh seseorang dari sumber yang haram seperti wang riba, perjudian dan seumpamanya hendaklah ditolak dari kiraan pendapatan yang dizakatkan. Pendapatan-pendapatan dari sumber haram tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Welcome Back!

Login to your account below

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Add New Playlist